27 November 2011




Salam semua. Salam Maal Hijrah. Moga beralih tahun yang baru memberi kekuatan di dalam diri untuk terus menjadi insan yang positif dan sentiasa menjalani kehidupan mengikut syariat Islam. Teruskan dengan sentiasa memperbaiki diri untuk ke arah yang lebih baik, jangan kalah dengan perkara- perkara yang tidak baik yang sentiasa datang dalam diri kita untuk menguji. Sentiasa positif ita..:)



Jumaat lepas Fathnin minta buatkan puding. Ita pun dah lama tak buat puding untuk dia. Sekarang cuaca tk panas jadi memang tekak tak teringin sangat nak makan hanya minggu lepas cuaca agak elok tak sejuk sangat jadi ita buatkan untuk dia. Ita cuba cari puding apa yang menarik dalam cari-cari tu teringat puding yang ita nampak di kedai jual puding di 'Yokohama station' tempohari cantik dan nampak sedap. Gabungan puding Matcha ( green Tea) dan kastad amat menarik tapi kali ini ita buat gabungan matca dan coklat disebabkan anak-anak ita suka dengan puding coklat.




Untuk resepi ita google dan terjumpa blog ini. Jadi ita ikut sedikit ilham dari blog Pittsburgh need Eated. Gabungan matcha dan juga coklat amat kena sedap. Ita suka dengan rasanya yang lemak-lemak disebabkan campuran susu di dalam puding ini. Utuk resepi ini akan menghasilkan lebih kurang 6-7 bekas seperti di dalam gambar ita. Untuk resepi asal boleh ke link yang ita sertakan tapi resepi ini telah ita ubah sedikit mengikut selera ita..:)



Puding Matcha ( Teh Hijau) lapis Coklat

Lapisan Coklat

2 g serbuk agar-agar
1 1/2 cawan susu segar
1/2 cawan air
1/2 cawan gula ( boleh kurangkan )
2 1/2 sudu besar serbuk coklat

Lapisan matcha

2 g serbuk agar-agar
1 1/2 cawan susu segar
1/2 cawan air
1/2 cawan gula
1 sudu teh serbuk green tea boleh jika kurang




Cara-cara
Untuk lapisan coklat :

  1. Didalam periuk yang bersesuaian masukkan susu, air, gula dan serbuk agar dan masak dengan menggunakan api yang sederhana tidak terlalu kecil dan besar.
  2. setelah itu masukkan serbuk coklat dan kacau sehingga larut dan tutup api
  3. Tuangkan ke dalam acuan yang bersesuaian separuh dari bekas berkenaan.
Untuk Lapisan Matcha

  1. Didalam periuk yang bersesuaian masukkan susu, air, gula dan serbuk agar dan masak dengan menggunakan api yang sederhana tidak terlalu kecil dan besar.
  2. setelah itu masukkan serbuk matcha dan kacau sehingga larut dan tutup api
  3. Tuangkan ke dalam acuan setelah lapisan coklat agak keras sedikit. ( ita masukkan kedalam peti sejuk sebentar)
  4. Setelah itu boleh la disimpan sejuk didalam petisejuk
  5. Boleh dihias dengan whipping cream yang telah diputul kental.


25 November 2011

Swissroll bercorak Zirafah



Salam semua. Moga sihat-sihat sentiasa dan dirahmati Allah hendaknya. Minggu yang agak sibuk buat ita dan tak boleh nak mengadap blog lama-lama sebab suami ita guna laptop yang selalu ita gunakan. Kesian hubby laptop kena virus jadi untuk pastikan semua kerja-kerja berjalan dengan baik hubby guna laptop ita. Jadinya kena la ita curi masa sikit waktu dia berehat tak guna laptop untuk ita update disini.

Cerita tentang resepi hari ini, ita amat teruja bila tengok swissroll ni di blog kak wan. Cantik sangat dan keingin mencuba melonjak..:) Tunjuk kat hubby waktu tu duduk sebelah dia pun kata cantik dan kreatifnya orang yang buat swissroll ni katanya. Jadi nya ita godek-godek sekejap didapur itu pun banyak sangat acara tergendalanya sibuk dengan karenah anak-anak. Fathnin pun tak sabar tengok hasilnya.



Bagi ita kek ini lembut dan sedap. Tambahan ada rasa coklat jadi tidak rugi mencuba tambahan rupanya yang cantik. Lagi cantik jika coraknya agak rapat tapi ita tompok-tompok tu jarang la pula..disebabkan banyak adunan putih tu jadi ita tebalkan garisannya.. hasilnya jadi la seperti gambar tu. Nak lihat corak yang cantik boleh pergi ke blog kak wan. Cantik betul coraknya.

Resepi ini dari blog MissB@everybody East Well dan ita ambil resepi nya di blog kak wan. Ita kongsikan disini ye resepinya.



Swiss Roll Zirafah / Giraffee Swiss Roll
Sumber : MissB@everybody Easts Well


Adunan Coklat
Bahan A
3 biji kuning telur
15gm gula kaster
60ml air
40ml minyak jagung / minyak masak
75gm tepung gandum
1/2 sudu teh esen vanila

Bahan B
8gm serbuk koko
1 sudu kecil coklat emulco

Bahan C
3 biji putih telur
50gm gula kaster
1/4 sudu teh cream of tartar

Adunan Corak Zirafah
1 biji putih telur
2 sudu teh gula kaster
1 sudu teh tepung gandum
2 sudu besar dari adunan (yang di ketepikan)****

Cara-cara :
1. Sediakan loyang 10 x 10". Lakarkan dengan pen corak zirafah di atas sehelai kertas minyak. Masukkan ke dalam loyang, kemudian ambil sekeping lagi kertas minyak dan alas di atas permukaan kertas lakaran tadi. Gunakan berus, celup dengan sedikit minyak dan gris permukaannnya hingga rata untuk mengelakkan corak dari melekat di kertas apabila di keluarkan.





2. Adunan Coklat : Bahan A :
  1. Pukul kuning telur dan gula hingga berkrim, di ikuti esen vanila, air dan minyak.
  2. Pukul sebati dan masukkan tepung, kaup balikkan hingga rata.
  3. Ketepikan 2 sudu besar adunan *** (untuk corak zirafah).
3.
  1. Pukul bahan C hingga kembang dan bertanduk, kemudian kaup balikkan perlahan-lahan dengan adunan selebihnya dan bahan B untuk adunan coklat.
  2. Gaul hingga sebati.
3. Adunan Corak Zirafah :
  1. Pukul putih telur dan gula hingga kembang dan bertanduk.
  2. Masukkan 2 sudu besar adunan yang di ketepikan tadi di ikuti dengan tepung gandum. Kaup balikkan hingga sebati.
  3. Masukkan adunan ke dalam piping bag yang di gunting muncungnya dan pipe di atas lakaran corak zirafah tadi.
4. Bakar di dalam oven yang telah di panaskan terlebih dahulu pada suhu 170C selama 1 minit dan keluarkan dari oven. Ketepikan.
5. Tuang adunan coklat ke atas corak zirafah, ratakan dengan spatula. Hentakkan loyang beberapa kali untuk mengeluarkan buih yang terperangkap di dalam adunan.





6. Bakar pada suhu 190C selama 10-14 minit.
7. Bila kek telah masak, keluarkan dari oven dan pindahkan ke atas wire rack. Biarkan sejuk dengan permukaan corak zirafah berada di atas. Keluarkan kertas alasnya perlahan-lahan supaya corak tidak terkoyak.

8. Untuk mengulung : Potong bahagian tepi kek. Sediakan sekeping kertas minyak yang besar dan terbalikkan kek dengan permukaan corak zirafah di bawah. Sapu jem / filing yang di sukai dengan rata di atas pemukaan kek dan perlahan-lahan gulung padat dengan kertas minyak. Simpan di dalam peti sejuk selama 1 jam.


Filing
100gm whip cream
15gm gula kaster
(Putar hingga kental dan sapu di permukaan swiss roll)


23 November 2011

Oreo Cheese Cake


Salam semua. Hari ini cuti bagi negara Jepun. Cuti hari perkerja. Tapi bagi suami yang tidak berkerja ni tetap ada kerja yang perlu diselesaikan. Hari yang sungguh cerah untuk keluar bersiar-siar hari ini di Yokohama ni walaupun suhu tetap sejuk namun matahari sungguh cemerlang memancarkan cahayanya.


Sekadar berkongsi satu lagi resepi kek yang ita buat hari ahad baru-baru ni.. Kek lagi..?hihihihihi kekini ita buat untuk dibawa ke majlis sambutan Aidiladha di Universiti suami. Ita ada beli 1 kg cheese jadi nya kalau ita nak buat untuk makan dirumah nanti mahu tak boleh kancing pula kain nanti.. :) Jadinya baik buat jika ada majlis- majlis sebegini. Ita makan 2 sudu je sekadar nak rasa. Alhamdulillah sedap kek ni. Ini adalah kali ke 2 ita buat oreo cheese cake ni. Di jepun ni biskut oreo ni agak mahal sikit harganya jika dibandingkan dengan harga di Malaysia. Lebih kurang RM8 satu pek. Jadinya kadang-kadang je ita beli itu pun beli kena beli 2 pek satu untuk makan dan satu untuk buat kek ni sebab sambil buat kek ni dah habis satu pek dimakan oleh anak-anak.


Resepi ini amat mudah dan sedap. Bagi penggemar oreo dan cheese boleh la cuba kek ini. Untuk tambah lebih meriah sebenarnya di dalam nya ita tambah sedikit kepingan coklat tango dari Malaysia yang berperisa cookies. Sedap terasa coklat-coklat didalam nya. Lupa pula ita nak ambil gambar coklat tu.

Resepi ini ita intai di rumah kak ummi. memang dulu pun ita guna resepi ini. Sedap.. Resepi asal dari Joyce (Jthorge). Terima kasih buat kedua-duanya.




Oreo Cheese Cake

Bahan:-

  • 30 keping oreo cookies (buang cream tengah) - kisar halus
  • 1/4 cawan butter - cairkan
Bahan Filling:-

  • 16 oz (2 cawan) cream cheese - lembutkan
  • 1/2 cawan gula halus
  • 1/2 sudu teh esen vanila
  • 1/2 cawan sour cream- ita gantikan dengan yougurt
  • 2 biji telor
  • 1 cawan oreo yang dicincang halus





Cara Menyediakan:-

Base :-

  1. gaulkan oreo kisar dengan butter cair rata-rata.
  2. Tekan dalam loyang yang telah digris dan dialas. Simpan sebentar didalam peti sejuk
  3. Pre-heat oven pada suhu 180 Celcius.

Filling:-

  1. Pukul cream cheese, gula dan esen vanila dengan kelajuan sederhana hingga benar-benar sebati.
  2. Masukkan sour cream dan pukul sebati.
  3. Masukkan telor satu persatu dan pukul sebati. Kemudian masukkan oreo yang telah dicincang halus tadi, kaup balikkan hingga rata.
  4. Bakar secara "steam bake" (letak loyang adunan dalam loyang lain yang berisi air) pada selama 45 minit/hingga bahagian tengah benar2 masak.
  5. Sejukkan sekurang-kurangnya selama 4 jam/bermalam.


21 November 2011

Strawberry Shortcake



Salam semua. Salam permulaan minggu. Semoga semua urusan kita dipermudahkan dan semakin cemerlang pada minggu ini. Hari ini adalah hari jadi kakak ita. Selamat hari jadi yong. Moga gembira selalu bersama keluarga tersayang, dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur dan dirahmati Allah selalu. Kakak ita ni memang baik orangnya. Lemah lembut je tak macam ita yang agak kasar sedikit..:) Dulu kalau waktu ita belajar di Universiti dulu suka minta tolong dia kalau rasa duit dah hujung-hujung nyawa je... hihihiihi.. Terima kasih yong..:)


Untuk kek ini ita buat atas permintaan Fathnin yang nak makan kek ni. Tambahan ita nak kirimkan gambarnya buat kakak ita. Dulu waktu harijadi adik ita pun ita ada masukkan entry untuknya waktu tu ita buat cup cake. Sekarang ni dijepun banyak sangat gambar kek ni sebab nak krismas. Tapi ita buat bukan sempena itu, ini disebabkan Fathnin teringin nak makan nampak kek ni banyak sangat di gambar, TV dan dikedai-kedai kek. Tambahan ita jumpa strawberry yang agak murah sedikit harganya.



Bagi ita kek ni sedap. Satu keluarga pun suka. Tengok la kek ni tak sempat nak keraskan sekejap didalam peti sejuk, Fathnin dan fateh tak sabar makan jadi bila potong tak nampak strawberi kat dalam tu..ita cadangkan kek ini dibuat.. Nak buat pun mudah. Gabungan krim dan strawberi tu amat kena. Tambahan ia amat berseri dengan kehadiran strawberi. Boleh di hias mengikut citarasa sendiri , ita saja hias begini sebab nampak simple saja. Walaupun agak comot rupanya. Bagi yang ingin meraikan hari istimewa kek ini amat sesuai.


Resepi ita ikut resepi dari blog kak hana. tapi hari ni nak cari link tu blog kak hana tak leh buka pula. kalau ikutkan banyak sebenarnya resepi yang lebih kurang sama. Ita sempat salin dalam buku masakan ita didapur jika link kak hana ok nanti ita link kan ke blog kak hana.. InsyaAllah Terima kasih ye.. ita kongsikan disini resepi ini.


Strawberry Shortcake

Bahan-bahan

3 biji telur saiz M
90 gm Gula
80 gm tepung kek ( ita guna tepung gandum je)
30 butter yang dicairkan
sedikit esen vanila


Cara-cara

  1. Pukul telur dgn gula sampai kembang.( ita pukul putih dahulu sehingga merigue kemudian masukkan kuning telur satu persatu) kemudian masukkan gula.
  2. Masukkan tepung dan butter.Kacau hingga sebati.
  3. Masukkan ke dalam acuan yang telah dilapik dengan baking paper.
  4. spray permukaan kek dengan air supaya kek naik dengan elok.
  5. Bakar pada suhu 180 degree selama 30minit


Bahan-bahan untuk krim

400 ml whipping cream
30 g gula
sedikit esen vanilla
strawberi

Cara-cara
  1. Pukul whipping cream dan gula hingga kembang, masukkan esen vanilla




    1. Sediakan untuk dihias.
    2. Potong 2 kek sama besar atas dan bawah.
    3. Letakkan sedikit krim diatas kek yang pertama.
    4. Letakkan strawberi susun membulat mengikut bentuk kek
    1. Letakkan lagi krim diatas strawberi.
    2. Letakkan satu lagi lapis kek
    3. Sapukan semua krim disekeliling kek dan ratakan
    4. Hias kek mengikut citarasa masing-masing.
    5. simpan didalam petisejuk sekurang-kurangnya 2 jam sebelum dihidang.

18 November 2011

Pasta Sejuk



Salam semua. Salam hujung minggu. Tentu esok pelbagai aktiviti telah dirancang tambahan jika di Malaysia cuti sekolah telah pun bermula. Bagi ita disini seperti biasa aktiviti-aktiviti hujung minggu sahaja seperti membeli belah barang dapur dan bersantai bersama keluarga.

Layan resepi cold pasta/ pasta sejuk yang amat mudah ini. Selalu dengar lagu 'cold spagetti' dinyanyikan oleh kumpulan wiggle rancangan untuk kanak-kanak. Fateh dan Fathnin suka juga layan cerita tu. Jadi mama dia pun dah biasa dan kadang-kadang dah hafal lagu kegemaran anak-anak. Anak-anak zaman sekarang memang sangat celik IT tak perlu ajar banyak pandai sangat meneroka jadinya kalau lagu-lagu kartun di Youtube memang pandai sangat buka tambahan guna iphone atau ipad , hanya ibu bapa perlu mengawasinya selalu supaya tidak tersasar.




Untuk Pasta sejuk ni amat mudah hanya perlu rebuskan pasta dan boleh masukkan semua sayur-sayuran kegemaran dan digaul dengan perasa kegemaran sama ada berbentuk berkrim atau minyak sayuran. Kemudian di sejukkan didalam peti sejuk sebelum dihidang. Ita dapat resepi ni dari resepi kawan ita yang bawa waktu majlis hari raya aidiladha tempohari dan ita cuba pula dirumah. Resepi asal dari 'easy salad recipes'.


Pasta Sejuk

Bahan-bahan
semua bahan-bahan ini cadangan boleh sesuaian kan mengikut citarasa.
Pasta - lebih menarik jika berwarna warni
ayam cincang, sosej, meatball- letak mana yang ada bahan dirumah
sayuran -brocoli, lobak merah, celery, tomato, timun, bawang merah, capsicum
Perasa- oregano, basil, lada putih, lada hitam, garam, parmesan cheese

untuk bahan-bahan gaul ada 2 pilihan

berminyak
1/4 cawan minyak sayuran
3 tbsp. cuka/ jus lemon
1 ulas bawang putih dicincang halus
1 tsp basil and/or oregano
garam dan lada putih

atau

Krim
1 cawan mayonis
2 tbsp jus lemon
1 ulas bawnag putih dicincang
1 tsp. basil
garam dan lada putih


Cara-cara.

  1. Rebuskan pasta mengikut arahan di pek bungkusan.
  2. Sediakan sayur-sayuran kegemaran dan jika menggunakan ayam boleh direbus atau digoreng dahulu. Kemudian cincang mengikut saiz yang bersesuaian.
  3. Didalam mangkuk kecil boleh mengaul jenis "dressing" kegemaran sama ada berminyak atau berkrim. ( ita buat berminyak)
  4. Masukkan semua bahan didalam mangkuk yang besar. Boleh di gaul dengan Dressing tadi. Perasakan dengan garam dan lada putih. Tabur parmesan cheese.
  5. Simpan didalam peti sejuk selama 2 jam.


17 November 2011

Cream Puff



Salam semua. Hari ini keputusan UPSR sudah pun keluar, seronok ita dengar kejayaan anak kawan-kawan tidak ketinggalan anak kakak Ipar ita iaitu Nur Farhana diatas kejayaan 5A dalam UPSRnya. Tahniah Farhana. Farhana cucu sulung dalam keluarga suami ita.. semoga kejayaan ini akan menjadi contoh buat adik-adik dan sepupu yang lain terutama Fathnin dan Fateh.. InsyaAllah..:)

Semakin hari semakin sejuk suhu di Yokohama ni. Kalau sejuk-sejuk ni perut asyik minta diisi je. Kadang tu saja rasa nak mengunyah. Bahaya kalau dibiarkan macam ni. Nanti penimbang pun boleh rosak macam ni.. hahahha.. jadinya baik puasa selain ianya ibadah yang mulia dapat juga mengurangkan aktiviti mengunyah disiang hari.



Untuk menu berbuka ita buat cream Puff . Lama dah tak buat. Tapi nak buat cream puff ni kena betul-betul ikut langkahnya ye sebab ita pernah sekali tak jadi disebabkan tak ikut betul-betul resepi. Nanti cream puff jadi kurang gebu dan bantat. Lagi satu bagi ita penggunaan telur juga amat penting. Guna telur saiz L dan dikacau betul-betul setelah dimasukkan telur pada langkah terakhir tu. Tadi ita kacau sampai rasa lenguh la tangan..:) Untuk intinya ita saja gabungkan whipping cream coklat dan kastad. Sedap..:) lain kali boleh buat lagi.

Baikla resepi ni ita ambil di myresepi. Resepi dari kak yani . Terima kasih kak atas resepi ini. Ita suka sangat dengan cream puff ni. Resepi ini boleh menghasilkan 8 - 10 biji cream puff yang besar.




Cream Puff

Bahan-bahan ( 10 biji )

  • 100ml air
  • 45g butter-suhu bilik, potong 1cm
  • 60g tepung gandum- diayak
  • 2 biji telur(100g)

Cara-cara

  1. Persediaan awal. Panaskan oven pada suhu 200C. Alaskan dulang oven(oven plate) dengan aluminium foil kemudian sapukan minyak ke atasnya. Lepas tu ayaklah tepung. Masukkan telur ke dalam mangkuk. Pukul biar telur kuning dan putih bercampur.
  2. Masukkan air dan butter ke dalam periuk. Masak dengan api sederhana kemudian kuatkan sehinggalah mendidih. Bila dah mendidih tutupkan api.
  3. Masukkan tepung dan kacau cepat-cepat.
  4. Panaskan semula adunan dengan api sederhana sehingga nampak kepingan nipis terbentuk. Kemudian padamkan api.
  5. Masukkan telur, kacau cepat-cepat. kacau sehingga adunan nampak licin.
  6. Masukkan adunan ke dalam piping bag. Pipe kan ke atas dulang seperti dalam gambar. Anggaran diameternya ialah 5cm.
  7. Tekan bahagian tanduk yang terhasil supaya cream puff nampak cantik.
  8. Spray permukaan cream puff dengan air. Bakar dalam oven pada suhu 200c selama 15 minit. Kemudian turunkan suhu kepada 180c dan bakar selama 25 minit. Kalau nak nampak lagi perang biarkan cream puff di dalam oven beberapa minit sebelum dikeluarkan.
  9. Sejukkan cream puff sebelum dimasukkan kastad krim.




Inti

Whipping cream
70 ml whipping cream
1 sudu besar gula
1/3 sudu serbuk koko

Cara-cara
1. Masukan semua bahan-bahan dan puku hingga kental.
2. sedia untuk di masukkan ke dalam cream puff

Ini bagi mereka yang tidak suka kastad yang menggunakan telur ita kongsikan resepinya disini,
ita akan tetap menggunakan resepi ini..:)

Bahan
  • 2 sudu besar tepung kastard
  • 2 sudu besar gula kastor
  • 1 1/2 cawan susu
  • 30 g butter
  • 2 sudu teh vanilla

    1)Larutkan tepung kastard dan gula kedalam susu.
    2)panaskan hingga mendidih dan pekat.Masukkan butter dan vanilla...sejukkan...


16 November 2011

Salam semua. Sekadar berkongsi cerita hujung minggu lepas beberapa aktiviti yang ita dan suami sertai. Alhamdulillah ita dan suami berkongsi minat dalam kebanyakkkan sukan yang sama. Suami juga memberi keizinan untuk ita turut serta dalam aktiviti sukan jika dia sertai atau lakukan. Jadinya memang biasanya hujung minggu jika berkelapangan kami akan bermain badminton dengan kawan-kawan disini. Selain kaum bapa dapat beriadah setelah penat di universiti kaum ibu pun dapat berjumpa kawan-kawan setelah seminggu dirumah sahaja. Anak-anak pun seronok sebab dapat berjumpa kawan-kawan dari Malaysia.


sebelum bertanding ambil gambar dulu..:)


kaum ibu memberi sokongan






Pada hari sabtu lepas suami dan rakan-kawan disini menyertai "MSAJ Sport Festival 2011" untuk perlawanan futsal dan bowling di Saitama. Disebabkan suami-suami ni bermain kami isteri dan anak-anak tidak ketinggal untuk turut serta memeriahkan dan memberi sokongan. Pasukan dari Yokohama menghantar 1 pasukan futsal dan 1 pasukan bowling. Suami ita menyertai pasukan futsal. Disebabkan tempat bowling dan futsal didalam bangunan yang sama jadi ita dan kawan-kawan merancang untuk saja main bowling menghilangkan rasa bosan sebelum acara bermula. Namun ada yang memberi cadangan untuk turut serta dalam pertandingan bowling disebabkan acara bowling ini terbuka bukan satu daerah hanya satu pasukan dan tak kira sama ada lelaki atau perempuan jadi ita dan kawan-kawan ada 4 orang boleh buat satu pasukan. Tapi kebetulan seorang kawan dah didaftarkan dalam kumpulan lain jadi terpaksa la dibatalkan tak dapat la nak main bowling tu..





Mungkin juga nak dikatakan rezeki saat akhir ada 2 orang adik lelaki tak kenal pun minta Aliza cukupkan kumpulannnya untuk main bowling. Aliza ajak ita main, fateh pun tidur waktu tu dapat la ita main setelah diizinkan suami. Dipendekkan cerita tak disangka kumpulan ita menang mendapat tempat kedua dari berapa belas kumpulan yang menyertai acara bowling ni. Untuk perlawanan bowling ini satu kumpulan perlu menghabiskan 5 'game'. Suami ita pun tak sangka yang isteri dia boleh menang waktu main bowling ni.Alhamdulillah...:)Untuk pasukan futsal juga Yokohama mendapat tempat kedua. Seronok rasanya melihat pasukan suami memenangi futsal ni tambahan pasukan yokohama kebanyakkan terdiri daripada pasukan 'bapa-bapa' mana taknya yang lain semuanya adik-adik yang masih muda dan bertenaga..:)






Itu cerita hari sabtu, untuk hari ahad pula kebetulan kami dah dapat jemputan lama dah dari pasukan badminton vietnam di kawasan kanto untuk menyertai pertandingan Vysa open (Vietnam Open). Pasukan badminton vietnam ini menjemput negara-negara lain juga seperti Indonesia dan Jepun tapi pihak Indonesia tidak menghantar pasukan. Jadi yang ada pada hari tersebut pasukan vietnam 8 kumpulan, 1 pasukan Malaysia dan 1 pasukan Jepun. Untuk vietnam open ni ita baru pertama kali menyertainya sebelum ini pernah menyertai pertandingan untuk gabungan pasukan Malaysia dan Indonesia selain Yamanashi Open yang dianjurkan oleh adik-adik dari Malaysia untuk warga Malaysia .









Untuk Badminton ini satu pasukan perlu menghantar 1 pemain perseorangan, 1 bergu lelaki dan 1 bergu campuran. Setelah berbincang dengan kawan-kawan dan mengambil beberapa faktor ita diminta untuk bermain bagi bergu campuran bersama suami. Disebabkan ita jika bermain dengan suami kadang-kadang jika mood fateh kurang baik dia akan ganggu bila ita bermain. Disebabkan itu ita minta untuk Adnin juga pergi jika mempunyai masalah boleh Adnin yang main ganti ita tambahan suami adnin abang Puza juga turut menyertai perlawanan ini. Seperti yang di jangka ita hanya dapat main 2 perlawanan je dengan suami sewaktu fateh tidur jadi 2 perlawanan lagi ita terpaksa main dengan abang puza dan haris. Waktu tu suami jaga Fateh. Namun nasib kurang meyebelahi disebabkan kurang keserasian ita kalah untuk 2 perlawanan tersebut. Untuk perlawanan seterusnya kami minta abang puza untuk jaga fateh dan ita main kembali dengan suami Alhamdulilah kami menang perlawanan itu. Pasukan kami mendapat tempat ketiga. Pengajaran yang ita dapat untuk hari itu keserasian bermain bergu adalah faktor utama yang perlu diambil kira jika bermain bagi pasangan bergu. Terkadang tidak semua pasangan bergu memahami cara dan corak permainan kita.

;;

About this blog

821602_296729d757ea84k5ins587.JPG


822702_052345cc77ea843wlurk88.JPG